Macam-macam ada di Pusa

KUCHING: Kerajaan diharap dapat memberi lebih fokus kepada segmen pelancongan di daerah Pusa yang disifatkan mempunyai kepelbagaian dan wajar dikembangkan secara meluas terutama melibatkan aktiviti tradisi masyarakat.

Pengerusi Persatuan Warga Islam Saribas (Perwaris) Dr Bolhan Budeng memberitahu, Daerah Pusa mempunyai banyak tarikan yang berpotensi dijadikan sebagai produk pelancongan.

Menurutnya, masyarakat luar mengenali daerah baharu ini melalui Pesta Pusa dengan aktiviti utama regata lumba perahu, produk gula apong, perkampungan nelayan terbesar dan memiliki tempat bersejarah seperti Makam Dang Isah Tandang Sari serta lokasi penting ‘Battle of Beting Maro’ dan Taman Negara Maludam.

“Maka, Perwaris melihat perlunya kerajaan mempergiatkan segmen pelancongan di sini khususnya.

“Insya-Allah saya yakin dapat mengembangkan potensinya selari pembangunan kemudahan infrastruktur yang disediakan oleh kerajaan seperti Jambatan Tandang Sari, Jambatan Batang Saribas dan kemudahan inap desa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya Suara Sarawak selepas hadir bersama-sama Adun.Beting Maro Razaili Gapor serta rombongan Pejabat Daerah Pusa mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri di kediamannya.

Jelasnya, Daerah Pusa sejak terbina Jambatan Tandang Sari memudahkan pergerakan pelancong singgah baik dari luar mahupun dalam.

“Begitu juga Jambatan Batang Saribas jika siap kelak, akan terus merancakkan sektor pelancongan dalam daerah ini.

“Sejak akhir-akhir ini pun kita melihat keadaan sesak dan sibuk kerana limpahan kenderaan yang menggunakan Jalan Pesisir yang melalui Daerah Pusa.

“Ini menunjukkan jajaran yang dibina memudahkan pelancong harian melawat tempat-tempat menarik dalam daerah Pusa.

“Justeru, peningkatan kemudahan infrastruktur sedia ada telah mengambil kira potensi daerah ini untuk dimajukan, bukan sahaja menerusi sektor pertanian, perikanan tetapi bahkan pelancongan.

“Kerana, sektor sedia ada dapat ditambah nilai dengan acuan pelanggan contohnya agropelancongan dan akuapelancongan.

“Seterusnya, peningkatan ekonomi penduduk setempat dapat dicapai apabila pengunjung luar datang membeli-belah dan bermalam,” ujarnya.

Tambah Bolhan, usaha kerajaan menjadikan daerah Pusa sebagai salah satu kawasan bakul makanan bagi Sarawak juga sangat tepat, yang turut membantu menyokong sektor pelancongan.

Beliau antara lain menyentuh potensi inap desa yang sangat memudahkan pelancong yang ingin bermalam.

“Keperluan pelancong harian atau yang bermalam adalah satu kemestian yang perlu ada selain daripada kebersihan dan khidmat pelanggan yang baik untuk mengekalkan kedatangan pelancong,” katanya.

Beliau sangat berharap aktiviti pelancongan bersifat tradisi terus digalakkan dalam kalangan masyarakat seperti pameran dan jualan produk makanan berasaskan gula apong, pertandingan kilang memproses gula apong serta produk lain.

“Kilang tradisi memproses gula apong dan kilang tradisi memproses ikan secara kampung memang telah lama wujud.

“Jadi, dengan menggiatkan sektor pelancongan yang dinamik aktiviti secara tradisi ini boleh ditingkatkan dan pulangan lebih lumayan dengan promosi dan pemasaran yang baik.

“Bagi Perwaris sendiri, akan meneruskan usaha ke arah pembentukan kapasiti misalnya kursus membuat makanan berasaskan gula apong, keusahawanan, anyaman dan sebagainya.

“Kursus ini penting agar penduduk kampung dapat meningkatan hasil pendapatan dan baik untuk sektor pelancongan,” tambahnya.

Difahamkan semasa kunjungan, Razaili Gapor sempat bertanyakan berkenaan program-program berkaitan di bawah kementerian (Motac) yang boleh dilaksanakan di kawasan.

Salah satunya adalah program inap desa dan dijangka diadakan sesi pertemuan bersama-sama pengusaha.

Di samping itu, program sedia ada di Beting Maro seperti Pesta Pusa, festival makanan, dan regata lumba perahu.

Timbalan Ketua PBB Cawangan Beting Maro Mohd Shafizan Kipli dan Pegawai Tadbir di Pejabat Daerah Pusa Iszarul Japar turut serta.

Suara Sarawak