Makanan penyumbang utama ekonomi Sarawak
MENYELERAKAN… Antara menu utama di Tapak Pameran Gastronomi Sarawak di Mall The Hills Kuching
semalam. | Foto GHAZALI BUJANG

KUCHING: Program Inkubator Gastronomi Sarawak (Sago) dicadangkan untuk diperluaskan pada skala lebih besar pada masa akan datang bagi mengembangkan lagi potensi usahawan makanan tempatan.

Dilancarkan semalam, program yang julung kali diadakan itu dianjurkan oleh The Hills Kuching, dengan kerjasama WAT Sarawak dan Retrospective Discovery LLP menyasarkan sehingga 100 penyertaan pada siri seterusnya yang akan datang.

Menurut Rakan Pengurusan Retrospective Discovery LLP, Arif Abdul Rahman, program itu juga selaras dengan pengiktirafan Kuching sebagai Bandar Gastronomi Kreatif Unesco.

, Arif Abdul Rahman

“Ini kali pertama kami menjalankan Inkubator Sago dan susulan kejayaan program pertama ini, kami tidak sabar untuk bekerjasama lebih erat dengan kementerian berkaitan bagi mengembangkannya pada masa akan datang.

“Mudah-mudahan kita mendapat sokongan padu supaya usaha ini lebih diiktiraf dan membawa nama Sarawak ke mata dunia,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Program Inkubator Sago di The Hills Kuching, semalam.

Beliau berkata, apabila Kuching diiktiraf sebagai Bandar Gastronomi Kreatif Unesco, makanan dan minuman Sarawak berpotensi menjadi penyumbang utama kepada ekonomi tempatan dan menyediakan lebih banyak peluang kepada usahawan makanan tempatan.

“Negeri ini menerima pakai ekonomi digital dengan pantas, kita perlu memastikan industri seperti seperti ini dapat bersaing dalam era serba moden dengan melibatkan lebih ramai masyarakat tempatan,” ujarnya.

Sementara itu, mereka yang berminat menyertai program tersebut boleh memohon dan melayari laman sesawang www. sagoinc.my dan tarikh akhir permohonan pada 16 Mei depan.

Program tersebut turut mendapat kerjasama daripada TEGAS Digital Village, Supreme Group, Green Buddy, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), New Sarawak Tribune, Suara Sarawak, Kedey Kamek dan Pullman Kuching.

Suara Sarawak