KUCHING: Kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri hilang dibaham buaya di Kampung Nyabut, Telaga Air masih belum ditemui.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) memasuki hari ketiga hari ini ditangguh pada jam 6 petang dan akan bersambung pada keesokkan hari.

Katanya, operasi bermula jam 9.10 pagi dengan pencarian menggunakan bot penyelamat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dan Batu Lintang.

“Pencarian dilakukan secara ‘water surface searching’ di kawasan lima kilometer radius dari lokasi mangsa hilang.

“Pasukan K9 bersama bot BBP Petra Jaya dan Batu Lintang turut membuat pencarian sekitar radius lima kilometer sehingga ke sebelah petang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pencarian turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), Rela dan SWAT PBB.

Terdahulu, kejadian menimpa mangsa berumur 7 tahun itu berlaku kira-kira jam 8.30 pagi Sabtu.

Mangsa pada ketika itu bersama nenek dan kakaknya mengambil air di sungai.

Menurut saksi, mangsa dimaklumkan tidak timbul dan terus hilang di dalam air setelah kejadian.

Pasukan SAR melakukan pencarian pada hari ketiga SAR di Kampung Nyabut, Telaga Air di sini.

Suara Sarawak