Dr Sim ketika berucap dalam majlis tersebut

LUNDU: Janji yang terbuku dalam manifesto perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin bagi membangunkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Beliau berkata, setelah manifesto kerajaan dilaksanakan dengan sebaik mungkin di kawasan tersebut, kawasan Opar akan membangun seperti kawasan lain di negeri ini.

Katanya, ia sudah boleh dilaksanakan ekoran negara sudah berada di fasa endemik.

“Apabila saya tiba di sini (Opar), banyak jalan Pan Borneo sudah siap. Sekiranya semua sudah lengkap, ia pasti mendatangkan kepentingan dari pelbagai aspek termasuk pelancongan dan sebagainya.

“Justeru, mari laksanakan semua manifesto yang telah dijanjikan oleh GPS pada pilihan raya yang lepas,” katanya dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Pusat Khidmat Opar Kampung Temaga Melayu, di sini, hari ini.

Dalam pada itu katanya, kerajaan Sarawak juga mempunyai satu Undang-Undang baharu untuk diimplementasikan pada penghujung tahun ini iaitu Dana Kekayaan Berdaulat demi kepentingan Sarawak menjelang tahun 2030.

“Seperti di Norway, mereka ada membuat simpanan yang mana selepas 26 tahun, jumlah meningkat kepada USD1.35 trillion.

“Oleh itu, kita mesti bersatu padu. Kita tidak akan dapat capai matlamat utama sekiranya kita bergaduh. Bila negeri Sarawak kaya, rakyat turut mendapat manfaat,” katanya.

Suara Sarawak