KUCHING: Seorang pemuda tempatan dijatuhi hukuman denda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah memiliki dadah Methamphetamine seberat 51.45 gram.

Hakim Alwi Abdul Wahab memerintahkan hukuman penjara tiga bulan terhadap tertuduh yang berusia 20 tahun sekiranya gagal membayar denda.

Sebelum ini, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengedar dadah di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Namun, menukar pengakuannya kepada bersalah atas pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) Akta sama, selepas pertuduhan mengedar ditarik balik.

Mengikut pertuduhan pindaan, dia didakwa melakukan perbuatan itu di tepi jalan berhadapan sebuah kilang di Jalan Genesis Industrial Park II, Sungai Moyan, sekitar jam 3.15 petang, 5 Oktober 2020.

Semasa pemeriksaan, pemuda terbabit menyerahkan sendiri kepada pihak polis satu beg plastik hitam mengandungi plastik lutsinar berisi serbuk kristal yang disyaki dadah jenis Methamphetamine.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ronie Entili manakala tertuduh diwakili seorang Peguam Osman Ibrahim.

Tertuduh berbincang dengan peguam bela selepas kes berakhir hari ini.

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak