KUCHING: Seorang wanita berusia 22 tahun dibebaskan dengan bon berkelakukan baik selama dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, kerana memiliki wang berjumlah RM5,555 secara tidak sah di dalam akaun bank miliknya.

Majistret Zubaidah Sharkawi mengenakan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin selepas tertuduh Nur Afiqah, mengaku bersalah atas satu pertuduhan dibacakan di hadapannya hari ini.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki sejumlah wang tersebut di sebuah rumah di Kampung Heritage, Batu 10, Jalan Matang, sekitar 16 Ogos hingga 17 Ogos 2021.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 37(1) Ordinan Kesalahan Kecil Sarawak 1958 yang membawa hukuman penalti, penjara sehingga tiga bulan dan denda RM500, jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, pengadu tertarik dengan iklan dalam media sosial Facebook yang menawarkan pekerjaan sambilan secara dalam talian dan kemudian menghubungi ejen tersebut melalui aplikasi Whatsapp.

Semasa berhubung dengan ejen terbabit telah diberikan satu pautan daripada aplikasi jual beli Shopee dan diarahkan membuat pembayaran mengikut harga barangan dan pengadu akan menerima komisyen daripada setiap pembayaran barang tersebut.

Pengadu telah diarahkan membuat bayaran barang shopee sebanyak lima kali yang jumlah keseluruhannya RM5,555 pada 16 Ogos hingga 17 Ogos 2021 ke akaun bank CIMB atas nama tertuduh.

Namun, pengadu tidak menerima sebarang komisyen seperti yang dijanjikan.

Pengadu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan lanjut seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh.

Hasil siasatan, mendapati tertuduh adalah pemilik akaun berkenaan gagal menjelaskan bagaimana wang terbabit dimasukkan ke akaunnya.

Selain itu, tertuduh merupakan pelajar kolej dan menetap di Selangor juga gagal menjelaskan mengapa tiada laporan polis dilakukan selepas kehilangan kad ATM bank CIMB miliknya.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh diwakili seorang peguam.

Suara Sarawak