KUCHING: Berbanding pada 2020 dan 2021, rakyat merayakan Aidilfitri dalam keadaan yang sukar serta penuh dugaan susulan Covid-19, namun ia tidak pernah melemahkan semangat untuk menikmati rahmat Ramadan dan Aidilfitri.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, rakyat juga harus bersyukur kerana Sarawak dapat beralih ke fasa endemik dengan banyak kelonggaran SOP yang membolehkan semua boleh menjalani kehidupan seharian dengan lebih selesa.

“Justeru, seluruh rakyat Sarawak tanpa mengira pelbagai bangsa, keturunan, agama dan kecenderungan politik untuk terus mengukuhkan budaya saling menghormati antara satu sama lain.,” katanya dalam perutusan khas sempena Hari Raya Aidilfitri 2022.

Katanya, setelah sebulan berpuasa, kita harus meraikan kemenangan dengan rasa syukur atas nikmat kesabaran menunaikan ibadah puasa bersama-sama umat Islam di seluruh dunia.

Beliau turut mengajak rakyat untuk merayakan hari yang mulia ini dengan semangat muhibah dan persaudaraan antara sesama manusia tanpa mengira perbezaan agama dan keturunan walaupun dalam keadaan yang mencabar.

“Saya dan isteri akan mengadakan satu hari rumah terbuka di Hotel Pullman, Kuching pada hari kedua Aidilfitri. Kami amat berharap dapat berjumpa dengan saudara dan saudari di sana nanti,” katanya.

Menurut Abang Johari, majlis itu diadakan selepas dua tahun tidak mengadakan rumah terbuka bagi merayakan hari yang mulia bersama-sama masyarakat berbilang kaum di Sarawak.

Orang ramai dijemput menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri, Datin Patinggi Puan Sri Jumaa’ni Tun Tuanku Bujang pada Hari Raya kedua (4 Mei ini).

“Akhir kata, saya dan isteri serta keluarga dengan ikhlas hati mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh rakyat Sarawak,” tambahnya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak