KUCHING: Nilai eksport produk perkayuan di Sarawak mencatatkan nilai RM1.04 billion bagi suku pertama 2022, meningkat 26 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, prestasi memberangsangkan ini menyaksikan negara Jepun kekal sebagai pengimport utama bagi produk perkayuan negeri ini.

”Ia menyumbang sebanyak RM616 juta atau 59 peratus daripada keseluruhan nilai eksport bagi tempoh suku pertama tahun 2022.

“Manakala, pasaran utama lain adalah India sebanyak RM119 juta, Amerika Syarikat sebanyak RM61 juta, negara-negara Timur Tengah sebanyak RM44 juta, Taiwan sebanyak RM43 juta dan Filipina sebanyak RM41 juta,” katanya ketika sesi penggulungan kementeriannya pada Persidangan Penggal Pertama DUN Sarawak, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua berkata, peningkatan nilai eksport produk perkayuan ini juga sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 2030 (PCDS 2030), yang komited untuk meningkatkan nilai pendapatan eksport barangan kayu kepada RM8 bilion setahun menjelang tahun 2030.

Menerusi PCDS2030 ini katanya, fokus diberikan kepada pengeluaran produk nilai tambah tinggi seperti perabot, produk kayu kejuruteraan dan produk berasaskan buluh, serta menggiatkan usaha penyelidikan dan pembangunan produk (R&D).

Sasaran ini seiring dengan potensi pertumbuhan yang diunjurkan dalam nilai pasaran perabot dunia.

Awang Tengah ketika sesi penggulungan kementeriannya pada Persidangan Penggal Pertama DUN Sarawak, di sini, hari ini.

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak