KUCHING: Keperluan membina sebuah Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di kawasan Daerah Lingga, Meludam dan Triso antara cadangan yang dikemukakan Adun Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor.

Beliau mengemukakan cadangan tersebut pada perbahasanan kepada usul penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada Persidangan DUN Ke-19, hari ini.

Menurut Noorazah, cadangan yang diketengahkan adalah ekoran kawasan berkenaan (Meludam dan Triso) tidak mempunyai kemudahan perkhidmatan bagi keperluan masyarakat.

“Salah satunya adalah Pejabat pos yang mana penting bagi rakyat menguruskan pembayaran bil-bil, surat-menyurat termasuk penghantaran dan kutipan bungkusan perniagaan yang kini menjadi salah satu sumber pendapatan warga perindustrian kecil dan sederhana(PKS) dan suri rumah.

“Justeru, dengan kemudahan RTC di kawasan berkenaan, ia akan menempatkan pelbagai urusan perkhidmatan awam termasuk Pejabat pos, perbankan, jabatan pendaftaran, klinik kesihatan dan lain- lain agensi berkaitan,” ujarnya.

Menjelas lanjut, beliau berkata bahawa penduduk kawasan juga mengadu terpaksa membayar tambang untuk ke seberang bandar Pusa semata-mata untuk menyelesaikan apa-apa urusan berkaitan di Pejabat Pos.

Sehubungan itu, beliau berharap usul cadangan ini dapat diluluskan dalam projek Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) atau Kerajaan Negeri.

Selain itu, beliau turut mengusulkan agar satu pusat khas dibina di kawasan Dun berkenaan bagi membolehkan masyarakat setempat khususnya golongan belia bergiat aktif dalam bidang sukan, kebajikan dan persatuan.

Ia selaras dengan pengenalan Program Sarawak X-tive oleh Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak pada Mac lalu dengan objektif membudayakan sukan untuk kesejahteraan dan kesepaduan rakyat.

Katanya, pusat khas ini bakal menyediakan kemudahan kawasan sukan seperti stadium bola sepak, gelanggang futsal, takraw, badminton, bola keranjang, bola jaring, memanah selain mungkin dapat dinaik taraf untuk sukan permotoran dan e-sport.

Suara Sarawak