KUCHING: Angkara bakar lima guni padi milik kenalannya hingga menyebabkan kerugian RM500, seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Tertuduh Augustine Carlebim Fabian, 33, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Afidah Abdul Rahman.

Mengikut pertuduhan, dia melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Abang, Jalan Puncak Borneo, kira-kira jam 2 pagi, 20 April lepas.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pada 24 April lepas, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padawan telah menangkap tertuduh di sebuah pondok yang tidak bernombor di Kampung Abang.

Hasil siasatan, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff memohon agar mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Difahamkan, tertuduh mengaku melakukan perbuatan itu kerana terdapat selisih faham antara pengadu dan tertuduh.

Terdahulu, pada tahun 2016, tertuduh pernah dijatuhi penjara empat tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret kerana mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun.

Dia dituduh di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada dua hukuman itu.

Suara Sarawak