LYDIA AMAN

KUCHING: Seorang lelaki dijatuhi hukuman denda RM1,500 kerana memecahkan cermin kereta jenis kompak milik seorang wanita dalam satu insiden kemalangan di Jalan Utama Kampung Tupong, 7 Mei lalu.

Tertuduh Sapiee Seram, 56, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Mahkamah menetapkan hukuman penjara tiga bulan terhadap tertuduh sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, dia sengaja melakukan khianat memecahkan harta milik wanita berusia 46 tahun iaitu memecahkan cermin hadapan kereta hingga menyebabkan kerugian sebanyak RM300.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di Jalan Utama, Kampung Tupong sekitar jam 5.00 petang, 7 Mei lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, semasa kejadian, pengadu merupakan mangsa telah melanggar sebuah kereta jenis MPV milik tertuduh dari arah belakang.

Tertuduh kemudian keluar dari keretanya lalu terus berjumpa dengan pengadu dan menggeluarkan kata-kata “kenak cuai”.

Tertuduh kemudian terus menumbuk cermin hadapan kereta pengadu sehingga menyebabkan retak lalu beredar dari kawasan kejadian selepas melakukan kesalahan terbabit.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak