KUCHING: Penduduk sebahagian kampung di kawasan Telang Usan tidak mempunyai pilihan selain ‘pakai tangan sendiri’ untuk membaiki jalan dan jambatan balak, hasil peninggalan syarikat pembalakan untuk kemudahan mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telang Usan Dennis Ngau berkata ia disebabkan sesetengah syarikat pembalakan terpaksa meninggalkan ‘pusat operasi’ mereka sehingga kebanyakan jalan balak kini tinggal tanpa pemantauan.

Katanya ia ekoran keputusan Unit Pengurusan Hutan (FMU) baru-baru ini, yang memperkenalkan garis panduan baharu aktiviti pembalakan sehingga menyebabkan syarikat pembalakan mengurangkan saiz operasi mereka.

“Pada ketika ini, orang saya di Long Bangan dan Long Win sedang bergelut untuk membaiki jambatan balak di sepanjang jalan yang menghubungkan mereka ke dunia luar yang rosak teruk akibat hujan lebat.

“Ini berlaku sepanjang tahun melibatkan beberapa bahagian di lebih 1,000 kilometer jalan aktif dan bekas pembalakan di seluruh Telang Usan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun), hari ini.

Menurut Dennis, isu infrastruktur terutamanya perhubungan jalan raya merupakan satu cabaran besar kepadanya sebagai wakil rakyat bagi kawasan Telang Usan sejak 2011, yang mempunyai 88 rumah panjang di kawasan seluas 9,625 kilometer persegi.

Katanya terdapat kira-kira 1,000 kilometer jalan tanah yang dibina oleh syarikat pembalakan sejak lesen pembalakan diberikan ke atas Baram, baik untuk operasi mereka dan sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat setempat dalam kawasan operasi mereka.

“Walaupun mereka berada di sekitar kawasan, sebarang kerosakan pada jalan tanah yang rapuh ini akan dibaiki tepat pada masanya oleh syarikat pembalakan,” katanya.

Dennis berkata berdasarkan anggaran Jabatan Kerja Raya (JKR), kira-kira sebanyak RM21 bilion diperlukan untuk menaik taraf jalan di Telang Usan dan RM11 bilion diperlukan untuk membina jalan baharu.

Justeru disebabkan jumlah yang sangat besar, beliau mencadangkan Kerajaan Sarawak untuk mewujudkan Unit JKR Luar Bandar untuk Baram atau kawasan lain.

“Sesebuah unit hanya memerlukan peralatan asas seperti jengkaut, lori dan kemudahan lain.

“Jika ini terlalu sukar, saya menggesa Kerajaan Sarawak untuk meletakkan sejumlah dana misalnya sebanyak RM3 juta pada tahun ini dengan Pejabat Daerah Telang Usan, Pejabat Daerah Beluru dan Pejabat Daerah Kecil Bario.

“Dana ini akan digunakan untuk melakukan kerja pembaikan segera apabila ada keperluan dan atas permintaan daripada wakil rakyat,” katanya.

Adun Telang Usan Dennis Ngau ketika menyampaikan ucapan perbahasan sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun), hari ini.

Suara Sarawak