SEKITAR dua minggu lagi, masyarakat Dayak akan menyambut Hari Gawai.

Tentunya sudah banyak persiapan telah, sedang dan akan dilakukan seperti membuat biskut, kuih jala, gotong-royong dan sebagainya.

Ada tiga perkara penting yang akan dilakukan oleh masyarakat Dayak khususnya berbangsa Iban sebelum menyambut Hari Gawai. Perkara ini dilakukan di kebanyakan rumah panjang sebagai persiapan agar hari tersebut boleh diraikan dengan meriah.

Tiga perkara berkenaan adalah persiapan upacara miring, melantik ketua Gawai dan persiapan ngabang.

Tiga hal ini memberi makna cukup besar kepada masyarakat Iban sebelum menyambut Hari Gawai yang dimaksudkan sebagai ucapan terima kasih atas tamatnya kerja kerja menuai padi.

Persiapan piring merupakan hal pertama yang dilakukan oleh penduduk di rumah panjang dengan persiapan ini kebanyakan dilakukan oleh kaum wanita.

Ini termasuk membuat kuih jala, tuak dan persiapan lain yang berkaitan seperti penyediaan tabak (tempat meletakkan piring), tawak (gong), Pua Kumbu, tikai bebuah (tikar yang bercorak), daun sirih, kapur, buah pinang, tembakau, ayam jantan dan sebagainya.

Persiapan ini mesti disediakan awal agar pada hari kejadian semua yang diperlukan lengkap dan tidak kurang.

Menurut orang tua, apabila piring yang disediakan tidak mencukupi atau salah, maka upacara miring akan terbatal dengan sendirinya.

Dalam erti kata lain, ini bermakna tahun berikutnya merupakan tahun yang tidak baik kepada rumah panjang berkenaan yang dikhuatiri bakal memberi musibah seperti padi tidak banyak tumbuh, hasil tuaian rosak, cuaca tidak menentu dan sebagainya.

Sebab itu, persiapan ini dilakukan lebih awal kerana upacara ini sangat penting.

Selain itu, sesebuah rumah panjang juga akan melantik ketua (tuai) Gawai untuk memudahkan urusan atau hari perayaan itu.

Tuai Gawai dipilih secara bergilir-gilir dan akan merancang segala program dan aktiviti yang ada untuk menyambut hari berkenaan.

Penduduk langgar peraturan akan dihukum Tiada seorang pun penduduk rumah panjang boleh melanggar peraturan atau arahan tuai Gawai kerana sekiranya ingkar maka penduduk berkenaan akan ditungu (dihukum).

Tungu (hukuman) yang dikenakan biasanya seperti segantang beras (sekitar lima kilogram) atau hukuman lain yang akan ditetapkan oleh tuai Gawai.

Sebab itu, sekiranya kita ke rumah panjang semasa Hari Gawai, kita akan melihat sebuah ruai yang akan dihias dengan banyak daun kelapa dan bunga pinang yang menandakan rumah tersebut dilantik sebagai tuai Gawai.

Tuai Gawai akan mengarahkan penduduk rumah panjang untuk bergotong-royong, membaiki jambatan, membuang sampah, menghias ruai dan sebagainya.

Satu lagi hal yang penting ialah persiapan ngabang iaitu amalan kunjung-mengunjungi dari rumah ke rumah atau dari rumah panjang ke rumah panjang. Persiapan ini tidak susah dan rumit namun sebagai masyarakat Iban ada sedikit perkara perlu diambil kira sebelum ngabang.

Setiap rumah harus bersedia menyediakan makanan, terutamanya air tuak dan kuih jala namun, oleh kerana dunia semakin moden maka makanan pada masa ini banyak telah diubah kepada biskut dan kek.

Tuai Gawai yang akan menentukan jam, tempoh dan tarikh aktiviti ngabang ini boleh dilakukan kerana beliau akan menjadi ketua membawa rakyat untuk masuk ke rumah atau bilik orang.

Ada satu hal yang harus tuai Gawai sentiasa berhati-hati sekiranya ingin masuk ke rumah orang iaitu adat penti pemali. Adat ini dilakukan sekiranya seseorang itu sedang menerima rawatan, ada anak kecil dan ada ahli keluarga yang baru sahaja meninggal dunia.

Maka daun pemali akan dilekatkan di depan pintu rumah untuk memberitahu bahawa rumahnya tidak boleh dimasuki orang atas sebab tertentu.

Maka, tuai Gawai akan membawa rakyatnya ke rumah orang lain bagi menghormati ahli keluarga yang berada di rumah berkenaan.

Biasanya, aktiviti ngabang dilakukan dari hulu ke hilir dan pada hari kedua akan dilakukan dari hilir ke hulu, tidak ada satu rumah pun akan terkecuali selain yang ada daun pemali.

Ini bagi memastikan semua penduduk mengambil bahagian dalam meraikan hari berkenaan.

Tiga hal ini bakal diubah dari semasa ke semasa, namun kita berharap agar adat resam ini tidak pupus ditelan zaman.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak