KUCHING: Padah membuli seorang lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) dengan menembak menggunakan mercun hingga video menjadi tular di media sosial, seorang pekerja syarikat kurier dijatuhi hukuman denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh Mohd Aidid Mohamad Supian, 22, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua minggu sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, dia sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa berusia 38 tahun di hadapan sebuah premis bangunan di Bandar Baru Samariang, sekitar jam 11 pagi, 10 Mei lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 511 kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Menurut fakta kes, pengadu yang merupakan abang mangsa terlihat satu hantaran video yang tular di media sosial mengenai adiknya dibuli oleh dua orang individu yang tidak dikenali.

Dalam video terbabit, pengadu melihat adiknya dibuli menggunakan mercun dan satu benda tajam.

Pengadu kemudian membuat laporan polis untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Pada hari kejadian, di kawasan yang sama, pasukan peronda khas cegah jenayah polis telah menerima maklumat mengatakan terdapat kes pergaduhan seterusnya berjaya menahan dua orang lelaki.

Barang kes turut dirampas seperti sebatang bunga api, seunit sarung picagari, sehelai baju, sehelai seluar, sepasang kasut dan seunit telefon pintar.

Siasatan lanjut, mendapati tertuduh telah cuba mencederakan adik pengadu dengan menggunakan sarung plastik picagari dan menggunakan mercun yang dibakar dan dihalakan kepada adik pengadu.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak