KUCHING: Para pelesen serta komuniti setempat akan menikmati pelbagai faedah susulan pelaksanaan Dasar Pengurusan Pensijilan Hutan menerusi penubuhan Unit Pengurusan Hutan (FMU).

Timbalan Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Datuk Len Talif Salleh mendedahkan perkara itu ketika menjawab pertanyaan Adun Telang Usan Dennis Ngau mengenai faedah yang dinikmati oleh para pelesen melalui penubuhan FMU, pada Persidangan DUN Ke-19, hari ini.

Datuk Len Talif Salleh

Beliau berkata, langkah Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Hutan Sarawak ini akan membolehkan pemegang lesen FMU memasarkan kayu balak serta produk berasaskan kayu yang dihasilkan di kawasan berlesen masing-masing tanpa sekatan ke pasaran global.

“Malah, pemegang lesen juga akan mendapat harga premium kerana kayu dan produk berasaskan kayu yang dihasilkan adalah daripada sumber yang sah di kawasan yang diuruskan secara mampan,” katanya.

Tambah beliau juga, FMU yang dilaksanakan oleh pemegang lesen telah memenuhi pelbagai kriteria dan petunjuk yang ditetapkan mengikut piawaian Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS), yang diiktiraf di peringkat antarabangsa di bawah Program Endorsement for Forest Certification (PEFC).

Justeru katanya, penyertaan dan kemahiran komuniti telah meningkat melalui pelbagai program dalam pensijilan hutan.

“Ia termasuk program kesedaran untuk Pensijilan Pengurusan Hutan, latihan untuk Pembalakan Impak Berkurangan, latihan mengenai Nilai Pemuliharaan Tinggi dan sebagainya yang dilaksanakan oleh Jabatan Hutan Sarawak dengan kerjasama Persatuan Kayu Sarawak (STA), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemberi lesen,” katanya lagi.

Suara Sarawak