GAMBAR ARKIB… Operasi pelepasan air secara terkawal oleh Empangan Hidroelektrik Bakun.

KAPIT: Empangan Hidroelektrik Bakun melakukan operasi pelepasan air secara terkawal sepanjang tempoh dua minggu, bermula hari ini sehingga 13 Jun depan.

Justeru, Lembaga Sungai-sungai Sarawak (LSS) menerusi satu kenyataan mengingatkan semua pihak terutama orang awam, masyarakat perkapalan dan pengguna sungai di hilir empangan agar mengambil tindakan awal dari aspek keselamatan semasa berlayar bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

“Notis ini bertujuan memaklumkan operasi pelepasan air secara terkawal bermula hari ini (Isnin) sehingga 13 Jun,” katanya.

Jelas LSS, operasi pelepasan air tersebut dilakukan bagi membolehkan bekalan air mencukupi sepanjang masa.

“Pelepasan air bertujuan memastikan bekalan air sentiasa mencukupi semasa sambutan Hari Gawai Dayak dan sambutan Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke-XVI Peringkat negeri Sarawak yang dijadualkan berlangsung di Kapit pada 5 dan 6 Jun ini.

“Orang ramai yang ingin mengetahui maklumat lanjut dan pertanyaan berkaitan perkara itu boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Sarawak Energy Berhad yang beroperasi 24 jam di talian 1 300 88 311,” ujarnya.

Terdahulu Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bahagian Kapit telah mengeluarkan notis paras air sungai rendah pada 25 Mei 2022 dan menasihati pengguna untuk menyimpan air yang secukupnya bagi keperluan harian.

NOTIS… Notis rasmi tentang pelepasan air secara terkawal yang dikeluarkan oleh LSS.

Suara Sarawak