KUCHING: Pemandu Proton Wira yang tular kerana melawan arah di simpang lampu isyarat Pending berhampiran Klinik Kesihatan Tanah Puteh, di sini telah ditahan polis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Superintendan Merbin Lisa berkata penahanan wanita berumur 75 tahun itu dibuat selepas dia tampil menyerah diri di IPD Kuching kelmarin.
“Buat masa sekarang, suspek telah diambil keterangan dan kertas siasatan kita akan rujuk kepada pihak timbalan pendakwa raya

Katanya, kenderaan yang digunakan oleh suspek semasa kejadian turut dirampas.
Dalam pada itu, Merbin berkata suspek mendakwa pada masa kejadian, dia tergesa-gesa untuk menjual barangan terpakai di kilang barang lusuh berhampiran.
“Memandangkan kilang itu dijangka ditutup dalam masa terdekat dan disebabkan kesesakan lalu lintas, dia telah mengambil keputusan tidak wajar dengan melawan arah jalan untuk ke kilang barang lusuh tersebut,” katanya.
Kejadian dilaporkan berlaku di simpang lampu isyarat Pending berhampiran Klinik Kesihatan Tanah Puteh, di sini pada Sabtu lalu.
IPD Kuching mengesahkan pihaknya telah menerima satu laporan berkenaan hantaran di laman Facebook yang memaparkan kejadian terbabit.
Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan dengan cara yang merbahaya kepada orang lain.