MIRI: Pembukaan semula pintu sempadan darat dan laut oleh Kerajaan Brunei Darussalam 1 Jun nanti amat dinantikan terutamanya dalam merancakkan kembali perkembangan ekonomi dua hala.

Pengerusi Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Cawangan Miri Mohammad Hafidz Rohani berkata, pembukaan tersebut dijangka akan memperlihatkan kedatangan pengunjung luar khususnya dari negara tersebut masuk ke bahagian Miri.

Katanya, sektor pelancongan, peruncitan dan restoran dijangka akan mendapat manfaat besar dengan pembukaan sempadan ini nanti.

“Selain itu, kadar tukaran mata wang yang tinggi juga akan menyebabkan kuasa beli dari negara jiran meningkat sekali gus menguntungkan usahawan di sini.

“Justeru, peniaga-peniaga di bahagian Miri diingatkan untuk bersedia dengan pembukaan semula sempadan ini nanti,” katanya dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri dan Pra Gawai anjuran DUBS Cawangan Miri di sini, hari ini.

Menjelas lanjut, beliau menyatakan bahawa para usahawan juga perlu menyemak semula kos-kos perniagaan supaya keuntungan dapat dikekalkan.

Katanya, ia susulan kenaikan kos beberapa bahan mentah yang dilihat pada masa ini dan ditambah dengan gaji baharu minimum serta kekurangan tenaga kerja yang pastinya akan menaikkan kos pengendalian dan operasi perniagaan.

KOMITED…Barisan DUBS Cawangan Miri yang hadir dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri dan Pra Gawai yang dianjurkan oleh DUBS Cawangan Miri di Restoran De Tanjong

Suara Sarawak