MIRI : Pemindahan ibu pejabat wilayah Shell Malaysia di Kuala Lumpur ke bandaraya Miri akan merancakkan pembangunan ekonomi minyak dan gas sekali gus meningkatkan penggunaan domestik.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara itu telah dimaklumkan pihak pengurusan Shell semasa lawatan kerja beliau ke Pejabat Shell di The Hague, Rotterdam, dua minggu lalu.

Katanya, Miri akan menjadi satu pusat yang strategik di dalam pembangunan industri minyak dan gas di rantau ini, ini bermakna semua pegawai Shell akan berpusat di Miri.

“Ini akan menjadi suntikan kepada pembangunan ekonomi di Miri yang akan meningkatkan penggunaan domestik,” katanya semasa berucap dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Miri (LAKMM) di Miri, semalam.

Tambah beliau, kestabilan politik dan dasar kerajaan yang mesra perniagaan akan membantu pembangunan minyak dan gas di Sarawak.

“Itulah sebabnya Sarawak sedang dalam usaha membangun dan menghasilkan gas hidrogen hijau sebagai sumber tenaga baharu,” ujarnya.

Bagi Miri katanya, kerajaan akan terus membangunkan bahagian ini dan untuk itu mereka memerlukan tenaga mahir untuk industri sumber tenaga baharu.

“Ini juga untuk menyokong visi kami untuk mengurangkan pelepasan karbon dan menangani perubahan iklim,” katanya.

Pada majlis tersebut, Abang Johari turutmenyaksikan simbolik penyerahan replika cek berjumlah RM50,000 daripada Naim Holdings Berhad kepada Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Miri (LAKMM).

Turut menyampaikan sumbangan adalah Samling Strategic Corporation Sdn Bhd dengan sumbangan sebanyak RM15,000 kepada LAKMM.

Suara Sarawak