LYDIA AMAN

KUCHING: Padah ugut hendak mencederakan bapa kandung sendiri, seorang pemuda tempatan dijatuhi hukuman denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Zubaidah menjatuhkan hukuman terhadap Mohammad Nur,33, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapannya.

Mahkamah memutuskan tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan menjalani hukuman penjara selama dua bulan sekiranya gagal membayar denda.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa sengaja melakukan ugutan jenayah hendak mencederakan bapanya di kediaman mereka di Kampung Stapok, Batu Kawa di sini, sekitar jam 12.00 tengah hari, 10 Mei lalu.

Menurut fakta kes, semasa kejadian pengadu iaitu bapa tertuduh yang berada di belakang rumah terdengar bunyi kaca pecah dan dan melihatnya anaknya itu sedang mundar mandir serta meracau-racau tanpa sebab.

Tertuduh yang melihat bapanya masuk ke dalam rumah lalu bertindak agresif dengan menghempas pisau di atas meja serta menggeluarkan kata-kata ugutan “Jangan dekat kau, aku cederakan nanti”.

Difahamkan, tertuduh sering bertindak agresif tanpa sebab dan keluarganya mengesyaki dia terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin memohon mahkamah agar mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak