KUCHING: Kumpulan pertama Ketua Isi Rumah (KIR) daripada dua buah kampung akan berpindah ke Skim Penempatan Semula Darul Hana menjelang 1 Ogos depan.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ia melibatkan penduduk dari Kampung Panglima Seman dan Kampung Semarang, di Sebarang Hilir, di sini.

“Sebanyak 80 peratus pemohon daripada dua buah kampung terbabit telah melakukan cabutan dan bersetuju dengan kedudukan rumah masing-masing dengan kumpulan pertama akan berpindah pada 1 Ogos ini.

“Manakala 20 peratus lagi belum berpindah ke penempatan tersebut berikutan masih ada masalah dengan pemilikan tanah dan lain-lain faktor,” katanya.

Abdul Rahman yang juga Adun Pantai Damai berkata demikian pada Program Penanaman Pokok DBKU di TBS, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Sementara ditanya perkembangan projek Rumah Sentoria, Borneo Samariang Garden (BSG) yang mengalami masalah kelewatan penyiapan oleh pemaju, beliau memberitahu pihaknya menunggu keputusan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

“Pihak kita akan berkomunikasi dengan kementerian terbabit kerana musim cuti perayaan Aidilftri baharu habis. Sama-sama kita tunggu pengumuman baharu kelak,” jawabnya ringkas.

Untuk rekod, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada minggu lalu memberitahu Kerajaan Sarawak akan mengambil alih projek perumahan terbabit bagi mengatasi masalah yang dihadapi para pembeli.

Suara Sarawak