KUCHING: Keluarga tambahan dari kawasan Seberang Hilir yang bakal dipindahkan tidak akan diabaikan, sebaliknya dipertimbangkan untuk mendapat rumah.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata golongan berkenaan akan ditempatkan di skim penempatan semula Sungai Bedaun.

“Mereka (keluarga tambahan) juga akan kita pertimbangkan diberi rumah tapi di kawasan lain iaitu di Sungai Bedaun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu-bual selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Menteri Utiliti, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata kerajaan Sarawak mempunyai tatacara untuk melaksanakan pemindahan keluarga-keluarga dari kawasan Seberang Hilir ke Skim Penempatan Semula Darul Hana.

“Ia (Skim Penempatan Semula Darul Hana) kawasan yang lebih baik dan saya telah mengarahkan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) bersama-sama wakil rakyat di situ meneruskan usaha pemindahan yang dilakukan melibatkan keluarga asal dan keluarga tambahan,” katanya.

Sementara, Abdul Rahman yang juga Adun Pantai Damai berkata seramai 500 Ketua Isi Rumah (KIR) dijangka berpindah ke Skim Penempatan Semula Darul Hana menjelang 1 Ogos nanti.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika ditemu-bual selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Menteri Utiliti, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini. Turut kelihatan Abdul Rahman (belakang Abang Johari).

Suara Sarawak