BAU: Seorang penganggur dicekup kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di Kampung Stass, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata, lelaki berumur 29 tahun tersebut ditahan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Bau, kira-kira jam 11.40 pagi.

“Pemeriksaan dijalankan terhadap suspek telah menemui satu paket plastik kecil lutsinar yang berisi bahan kristal jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 0.30 gram.

“Pemeriksaan saringan awal air kencing terhadap suspek juga mengesahkan positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Poge berkata, suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau dan akan dipohon reman untuk siasatan.

“Siasatan awal mendapati suspek terlibat dengan pengambilan dadah akibat pengaruh kawan sejak beberapa bulan yang lalu,” jelasnya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

Beliau berkata, rondaan ini adalah untuk mengesan mana-mana individu yang terlibat dengan aktiviti dadah dan disamping mendapatkan maklumat dari orang ramai jika terdapat aktiviti salah guna dadah berlaku di mana sahaja khususnya di kawasan Daerah Bau.

Suara Sarawak