Gambar hiasan

KUCHING: Seorang penjawat awam ditangkap kerana mencederakan isteri, dengan menggigit lengan dan merosakkan telefon bimbitnya.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata suspek berusia 23 tahun itu ditahan pada 17 April lalu susulan laporan polis yang dibuat oleh isterinya.

“Suspek dikatakan bertindak demikian ke atas isterinya kerana tidak berpuas hati terhadap tindakan mangsa yang ingin membawa anak mereka bermalam di hotel untuk menenangkan fikiran sehingga menyebabkan pergelutan antara mereka.

“Dalam kejadian berlainan, suspek juga telah memecahkan telefon bimbit isterinya akibat tidak berpuas hati dengan tindakan isterinya yang ingin menggunakan wang Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) bagi membeli susu anak mereka yang berusia lima bulan semasa kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahsmon berkata kertas siasatan telah dibuka secara berasingan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan / 18A Akta Keganasan Rumah Tangga dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Katanya kertas siasatan akan dirujuk kepada pegawai pendakwaraya negeri untuk mendapatkan arahan bagi tindakan selanjutnya.

Suara Sarawak