KUCHING: Usaha membina laluan Mulu yang menjadi akses penting penduduk untuk ke Limbang tanpa perlu melintasi wilayah Brunei wajar dipercepatkan.

Penutupan sempadan Brunei akibat penularan pandemik Covid 19 sejak dua tahun lalu, mengakibatkan Limbang dan Lawas hanya boleh diakses melalui udara.

ADUN Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata masalah yang membelenggu penduduk di kedua-dua kawasan itu sangat menyedihkan dan memerlukan perhatian yang sewajarnya.

“Inisiatif membina laluan baharu ini bukan sahaja menyelesaikan masalah berkenaan tetapi juga bakal melonjakkan lagi potensi pelancongan yang ada di kawasan terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perbahasan Usul Penghargaan Atas Ucapan Yang Di-Pertua Negeri sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata pembinaan jalan ke Taman Negara Mulu dan tapak air terjun seperti Julan juga perlu disegerakan.

Adam juga mencadangkan pembinaan sebuah terminal baharu dengan reka bentuk terminal lapangan terbang dua peringkat yang sesuai untuk menampung peningkatan jumlah penumpang di Lapangan Terbang Miri.

ADUN Pujut, Adam Yii Siew Sang ketika menyampaikan perbahasan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.

Suara Sarawak