KUCHING: Kejohanan Petanque Beregu Terbuka Kuching 2022 Edisi Ke-13 akan berlangsung pada 4 hingga 5 Jun ini bertempat di Pusat Petanque Sarawak, Santubong, Kuching.

Acara berprestij dua hari itu dijangka meriah dengan menyaksikan penampilan 121 penyertaan.

Menurut Pengerusi Persatuan Petanque Bahagian Kuching (PSPBK) Datuk Zaidi Mahdi, saingan selama dua hari itu turut menghimpunkan pemain yang mewakili pelbagai negeri seperti Sabah, Selangor, Terengganu, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak selaku tuan rumah serta pemain dari pasukan yang mewakili pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

SERAH…Raymond Sim Hee Pang (dua dari kiri) menyerah piala tajaan pihaknya kepada Datuk Zaidi Mahdi (tiga dari kanan) selesai sidang media.

“Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS) menerusi Kelab Sosial dan Sukan JTS (LANDAS) dengan kerjasama Persatuan Sukan Petanque Bahagian Kuching (PSPBK) kembali menganjurkan kejohanan ini selepas dua tahun tidak dapat menganjurkannya ekoran pandemik Covid-19.

“Pihak kita menjangka saingan kali ini akan lebih sengit dengan pembabitan pemain handalan dari beberapa buah negeri lain,” ujar beliau pada sidang sedia dan sempena Majlis Penyerahan Hadiah tajaan Lea Sports Centre di Sarawak Plaza, hari ini.

Upacara penyerahan hadiah tajaan tersebut disempurnakan Pengarah Urusan Lea Holding (M) Sdn. Bhd., Raymond Sim Hee Pang.

Hadir sama Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak Datuk Abdullah Julaihi.

Menurut Zaidi, apa yang menariknya kejohanan terbabit yang akan turut disertai pemain dari skuad Sukma Sarawak sekali gus akan meningkatkan jumlah penyertaan sedia ada memandangkan tarikh tutup pendaftaran pada 3 Jun nanti.

Suara Sarawak