KUCHING: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menumpukan rondaan di tiga lokasi kerap kemalangan dan kesesakan lalu lintas sepanjang Op Selamat 18.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, ia membabitkan Lebuh Raya Kuching-Samarahan, Jalan Datuk Tawi Sli-Tun Ahmad Zaidi Edruce dan Jalan Stutong Baru.

Menurutnya, sepanjang operasi sehingga kini, Daerah Kuching merekodkan sejumlah 51 kes membabitkan kemalangan rosak.

“Berbanding tahun 2019, Daerah Kuching mencatatkan sejumlah 53 kes kemalangan rosak.

“Sementara, sehingga kini sifar kes kemalangan maut direkodkan,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis Hari Raya Aidilfitri bersama petugas barisan hadapan IPD Kuching di Jalan Tun Salahuddin, di sini hari ini.

Beliau berkata, selain kawalan trafik, katanya, operasi juga menumpukan kepada pencegahan jenayah di kawasan perumahan dan kawasan bandar.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai yang meninggalkan rumah agar memaklumkan kepada balai polis yang terdekat agar unit kereta peronda (MPV) boleh meningkatkan kekerapan rondaan di kawasan tertentu.

Terdahulu, Mohd Azman serta isteri Datin Nassariah Mohd Nasir meluangkan masa mereka menyantuni petugas barisan hadapan IPD Kuching di tapak tol lama, Jalan Salahuddin, di sini.

Kehadiran mereka disambut oleh Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah serta pegawai dan anggota dari IPD Kuching.

Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada anggota polis yang bertugas sepanjang Hari Raya Aidilfitri.

Mohd Azman bercakap kepada media selepas majlis Hari Raya Aidilfitri di tapak tol lama, Jalan Tun Salahuddin, di sini hari ini.
Mohd Azman menyampaikan sumbangan kepada anggota polis IPD Kuching yang bertugas semasa Hari Raya Aidilfitri. Turut kelihatan Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah (dua kanan).

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak