BANGGA…Irawan Sudarsono (kanan) bersama pelumba Sarawak.

KUCHING: Meskipun peralatan digunakan sedikit jauh ketinggalan berbanding pasukan lain, ia bukan penghalang bagi pelumba Sarawak meraih pingat pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2022.

Sebaliknya, anak-anak buah Josiah Ng berjaya mencipta kejutan dengan meraih dua pingat iaitu satu perak dan satu gangsa pada kejohanan yang berlangsung di Velodrom Kebangsaan, Nilai baru-baru ini.

Muhd. Luqman Daniel berjaya meraih pingat perak dalam acara pecut 4000 meter individu dengan catatan masa 4 minit 40 saat, manakala pingat gangsa diperoleh dalam acara berpasukan.

Pengurus Pasukan, Irawan Sudarsono nyata gembira dengan pencapaian dipamer para pelumba.

‘Walaupun dengan petalatan sedikit berbeza dengan pasukan lain serta sumber yang terhad, namun pelumba berjaya memberikan sesuatu yang diluar jangkaan,” ujar beliau.

Sambil turut merakam ucapan terima kasih kepada pihak Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) dan Persatuan Betbasikal Sarawak (SCA) atas sokongan yang diberikan.

“Tanpa sokongan semua pihak terbabit, nescaya kita tidak dapat melahirkan lebih ramai pelumba baharu yang berbakat,” tambah beliau.

Suara Sarawak