Hajah Rosiah bersama ahli-ahli PPWS Bahagian Bintulu-Tatau memotong pulut kuning simbolik sambutan ulang tahun ke-60 PPWS.

BINTULU: Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Daerah Bintulu-Tatau telah menganjurkan Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri semalam sempena Ulang Tahun PPWS yang ke-60.

Menurut Pengerusi PPWS Daerah Bintulu-Tatau Rosiah Dahlan, program tersebut bertujuan bagi menghargai jasa ahli PPWS sepanjang menjayakan program-program yang dilaksanakan.

“Dalam masa yang sama, program ini akan mengeratkan lagi silaturahim dan ikatan mesra di antara satu sama lain,” katanya.

Tambah Rosiah, tema yang dipilih bagi sambutan ulang tahun ke-60 PPWS adalah “Pemangkin Komuniti Dinamik”.

Katanya, tema ini amat bertepatan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang peranan PPWS dalam pembentukan wanita, keluarga dan pembangunan komuniti.

Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan dan pertandingan nyanyian daripada ahli PPWS, tarian dan cabutan bertuah.

Hadir sama, Pengerusi PPWS Bahagian Miri- Bintulu, Habsah Daud dan Naib Pengerusi PPWS Daerah Bintulu/Tatau Datin Sultan Patimah SK Ismail.

Suara Sarawak