Sebastian ketika menjawab soalan Adun Tanjung Datu Azizul Annuar Adenan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak Hari Kelima, hari ini.

KUCHING: Projek Membangun dan Menubuhkan Pusat Sokongan Pelancong Taman Negara di Lundu-Sematan telah diluluskan di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting berkata, projek yang bakal merancakkan sektor pelancongan di kedua-dua kawasan itu di bawah tanggungjawab Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) – sebagai agensi pelaksana projek itu.

“Anggaran kos projek Membangun dan Menubuhkan Pusat Sokongan Pelancong Taman Negara Di Lundu-Sematan ialah RM3 juta.

“Skop projek adalah membina pusat maklumat pelancongan yang lengkap dengan bahan pameran berbentuk realiti tambahan (AR) dan realiti maya (VR) berkaitan destinasi menarik di kawasan Lundu-Sematan,” katanya.

Sebastian berkata demikian ketika menjawab soalan Adun Tanjung Datu Azizul Annuar Adenan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak Hari Kelima, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menambah SFC juga sedang memohon peruntukan yang diperlukan untuk cadangan projek Penambahbaikan Kemudahan Ekopelancongan di Taman Negara Tanjung Datu.

“Sebagai usaha meningkatkan penyertaan penduduk luar bandar dalam Program Ekopelancongan Berasaskan Komuniti (CBET), kementerian dengan kerjasama agensi berkaitan telah mengadakan program lawatan kerja di Lundu pada 2 hingga 4 Mac lalu. Manakala, program susulan akan diadakan pada 11 hingga 12 Jun di Lundu.

“Diharapkan lebih ramai pengusaha inap desa dapat didaftarkan dan lebih banyak produk pelancongan di sekitar Lundu-Sematan dapat dikenal pasti,” tegasnya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak