Safiee menyampaikan surat pampasan kepada salah seorang penerima.

SARIKEI: Kerajaan Sarawak meneruskan projek naik taraf jalan sepanjang 8.2 kilometer (km) yang menghubungkan dua buah kampung dan lima buah rumah panjang di Dun Daro dengan jalan utama Tanjong Manis –Sibu.

Adun Daro Safiee Ahmad berkata, projek berimpak tinggi itu melibatkan laluan yang keseluruhannya hampir 20 km di Sungai Illas dan Kampung Sebena, Sungai Mabil dan Muara Stubah di Meradong.

Pelaksanaan projek itu katanya, bermula tiga tahun lalu namun tertangguh akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas negara dilanda pandemik Covid-19.

“Penangguhan sementara itu menyebabkan projek ini sedikit tergendala. Namun saya gembira selepas mendengar penjelasan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan bahawa ia diteruskan semula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada majlis penyerahan cek pampasan tanah berjumlah RM 333, 837.30 bagi projek naik taraf Jalan Bawang assan, Tanjung Manis, Sungai Illas, Kampung Sebena (Fasa II) Daerah Meradong di sini, semalam.

Beliau berkata, jalan baharu n itu bakal memacu pembangunan di kawasan tersebut khususnya sektor pertanian.

Suara Sarawak