KUCHING: Projek Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) di Banting, Lingga dijangka dapat mula dilaksanakan pada tahun ini.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi II Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, pada masa ini, projek itu masih dalam proses penilaian tender.

“Apabila ia siap kelak, terdapat 11 rumah panjang dan kira-kira 268 isi rumah akan mendapat manfaat daripada projek SAWAS di Banting, Lingga di Bukit Begunan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Adun Bukit Begunan Datuk Mong Dagang mengenai status projek bekalan air di bawah program SAWAS bagi Banting, Lingga pada Persidangan Hari Keempat Penggal Pertama DUN Sarawak Ke-19 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata projek tersebut menelan kos sekitar RM10 juta.

“Manakala, skop kerja merangkumi membaik pulih empangan sedia ada dan sistem penurasan sedia ada, pemasangan saluran paip baharu dan tangki simpanan air,” ujarnya.

Suara Sarawak