KUCHING: Projek tukun tiruan Sarawak di bawah Projek Rakyat yang dilancarkan pada 2019 dijangka siap pada Jun tahun ini, kata Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua berkata walaupun terdapat sedikit kelewatan dalam menyiapkan projek itu disebabkan oleh pandemik COVID-19, Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) bertekad untuk menyiapkan projek yang meliputi kawasan sepanjang 1,000 kilometer berkenaan.

Katanya penanaman tukun tiruan itu bermula dari Tanjung Datu sehingga Lawas dengan menanam 16,800 unit tukun tiruan jenis Reef Ball di sepanjang perairan Sarawak.

“Sehingga Mei tahun ini, sebanyak 15,657 unit tukun Reef Ball (93 peratus) telah ditanam manakala baki 1,143 unit akan ditanam di perairan laut Balingian hingga Tatau serta perairan laut Tanjung Payung ke Suai.

“Kerja-kerja penanaman kesemua tukun Reef Ball itu dijangka siap pada Jun nanti dengan kos keseluruhan RM70 juta daripada Kerajaan Sarawak,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Manakala, Awang Tengah berkata projek tukun tiruan fasa dua yang sedang dirancang memberi penekanan dalam penjanaan industri sosio-ekonomi baharu.

Menurutnya tukun Reef Ball akan ditanam secara kluster di perairan laut yang jernih khasnya di antara Tanjung Datu hingga Santubong dan antara Sibuti hingga Miri.

Katanya ia akan membolehkan industri marikultur batu karang serta aktiviti pelancongan berasaskan selaman Self-Contained Underwater Breathing Apparatus (SCUBA) dapat dibangunkan.

Manakala, di kawasan air keruh seperti di Belawai ke Paloh, kluster-kluster tukun bertindak sebagai Peranti Agregat Ikan untuk mempertingkatkan aktiviti sukan memancing yang sudah mula bertapak di kawasan tersebut.

Timbalan Premier merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Suara Sarawak