KUCHING: Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC), akan menganjurkan satu webinar berkaitan parasit yang hidup di dalam jerung dan ikan pari Borneo pada 18 Mei ini.

SBC dalam satu kenyataan hari ini berkata, pakar marin terkemuka antarabangsa Dr Janine Caira akan berkongsi tentang kepelbagaian parasit yang hidup di dalam jerung dan ikan pari Borneo melalui aplikasi Zoom, pada jam 10 pagi.

“Sesi itu akan memaparkan gambaran unik tentang dunia parasit yang pada asasnya semua baru kepada sains seterusnya mempelajari tentang parasit,” katanya.

Webinar ini diadakan bersempena dengan Hari Antarabangsa bagi Kepelbagaian Biologi pada 22 Mei ini dan tema untuk tahun ini ialah “membina masa depan bersama untuk semua kehidupan”.

Dr Caira merupakan seorang pakar parasit yang bekerja pada skala global dan telah membawa kepada penemuan lebih daripada 200 spesies baharu.

Beliau telah menerbitkan lebih daripada 160 artikel, buku dan monograf. Kajian enam tahun Dr Caira mengenai jerung dan ikan pari Borneo dibiayai oleh Yayasan Sains Kebangsaan, Amerika Syarikat.

Rebut peluang ini untuk mendapatkan pandangan langsung daripada pakar antarabangsa dan daftar melalui Zoom di https://bit.ly/3whsH0v.

Webinar ini juga akan disiarkan secara langsung di laman Facebook rasmi SBC di www.facebook.com/sarawak.biodiversity.centre.

 


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak