KUCHING: Putrajaya harus terus memberikan perhatian yang khusus kepada pembangunan di Sarawak terutama dalam bidang ekonomi dan pembangunan infrastruktur.

Yang Dipertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata ia agar pembangunan sosio-ekonomi Sarawak akan dapat dikembangkan setara dengan pembangunan di Semenanjung Malaysia.

“Saya percaya Sarawak tidak akan ketinggalan dalam arus pembangunan sejajar dengan semangat Keluarga Malaysia yang mementingkan kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan bersempena pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di kompleks DUN Sarawak, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Taib turut bersyukur pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan berkaitan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada Disember 2021.

Katanya ini mengukuhkan lagi kedudukan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia dan membuktikan semangat kesatuan dalam Keluarga Malaysia telah diwujudkan.

Justeru, beliau yakin kepimpinan Sarawak sentiasa berusaha mengekalkan hubungan yang baik dengan Kerajaan Persekutuan.

“Saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas bantuan dan sokongan yang diberikan kepada Kerajaan Sarawak,” katanya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak