TANJONG MANIS: Perhatian khusus perlu diberikan oleh Kerajaan Sarawak terhadap masalah perhubungan penduduk pedalaman di kawasan Dun Tanjong Manis, kata Ahli Parlimen Tanjong Manis Ir Yusuf Abd Wahab.

Beliau berkata, kawasan tersebut merangkumi Kampung Paloh, Kedang, Berangan dan Stalon.

Ketiadaan kemudahan itu katanya, mengakibatkan kawasan berkenaan seolah-olah tersisih dalam pembangunan.

“Kawasan ini seakan-akan terputus daripada dunia luar akibat ketiadaan jalan penghubung dengan tanah besar malah amat menyulitkan warga setempat untuk melakukan sebarang urusan harian.

“Malah, ia akan memberi kesukaran kepada rakyat untuk melonjakkan potensi ekonomi di kawasan ini serta memajukan taraf ekonomi mereka,” katanya pada Majlis Melanggar Raya Samah Premier Sarawak di Pantai Belawai, hari ini.

Pada masa yang sama, beliau turut mencadangkan agar perkhidmatan feri dilaksanakan dari Kampung Sedik ke Kampung Kedang dan dari Kampung Belawai ke rumah panjang Stalon.

Perkhidmatan feri itu katanya, sudah pasti akan memberi kelegaan dan kemudahan kepada penduduk di kawasan tersebut.

“Kita percaya dan yakin bahawa kerajaan GPS atas kapasiti dan keupayaan yang ada, akan sentiasa mencari cara dan jalan untuk terus membangunkan kawasan Parlimen Tanjung Manis ini.

“Yang pasti, warga kawasan di sini masih dahagakan pembangunan supaya setanding dengan kawasan-kawasan lain di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, daerah Belawai dan Tanjong Manis merupakan sebuah tempat yang penuh dengan pelbagai potensi.

Malah katanya, Belawai memiliki pantai yang sangat bersih dan indah, setanding dengan pantai-pantai di Langkawi.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan yang telah membangunkan pusat-pusat rekreasi yang terbukti telah berjaya menarik para pengunjung dari luar dan dalam untuk beristirahat di sini.

“Begitu juga dengan kewujudan medan selera dan medan niaga, semua ini bertujuan untuk menaik taraf sosio ekonomi warga tempatan melalui penghasilan pelbagai produk-produk tempatan,” jelasnya.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari (tengah) ketika menghadiri Majlis Melanggar Raya Samah Premier Sarawak di Pantai Belawai.

Suara Sarawak