KUCHING: Kerajaan Sarawak merancang untuk menubuhkan Jabatan Perikanan Sarawak untuk mempercepat dan mengawal pembangunan industri perikanan di negeri ini, kata Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.

Menurutnya pada masa ini, pembangunan perikanan darat berada di bawah Jabatan Pertanian Sarawak manakala perikanan laut diuruskan oleh Jabatan Perikanan Malaysia.

“Cadangan penubuhan Jabatan Perikanan Sarawak dijangka memacu pembangunan perikanan industri ke arah menjadikan Sarawak sebagai hab pengeluar perikanan utama di rantau ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom menunjukkan ucapan penggulungan kementeriannya ketika hadir di kompleks DUN di sini, hari ini.

Selain itu, Rundi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemena berkata sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan untuk meluluskan pengeluaran lesen memancing laut dalam di Sarawak, yang dipengerusikan bersama oleh Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Sarawak dan Setiausaha Tetap kementeriannya.

Katanya ia susulan daripada persetujuan Kerajaan Persekutuan baru-baru ini untuk memberi kuasa kepada Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia Cawangan Sarawak untuk meluluskan pengeluaran lesen memancing laut dalam.

“Pemerkasaan ini merupakan satu lagi pencapaian untuk Sarawak dari segi penurunan kuasa di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam menjaga kepentingan Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, Rundi berkata kementeriannya juga meletakkan sasaran untuk membangunkan kira-kira 7,000 hektar tanah bagi mencapai pendapatan eksport RM1 bilion daripada industri perikanan dan akuakultur menjelang 2030.

Jelasnya bagi mencapai sasaran itu, kementeriannya akan terus menarik sektor swasta untuk melabur dalam industri perikanan melalui penyediaan infrastruktur asas dan kemudahan serta sokongan teknikal.

Menurut Rundi, Sarawak mempunyai keluasan kolam yang besar dengan hampir 150,000 hektar yang boleh dibangunkan untuk projek akuakultur komersial bagi
menjana pendapatan eksport.

Katanya salah satu inisiatif utama untuk membangunkan projek akuakultur komersial adalah melalui penubuhan Zon Perindustrian Akuakultur (AIZ).

“Spesies akuakultur komersial yang digalakkan termasuk ikan air tawar seperti tilapia dan ikan bernilai tinggi termasuk Empurau dan Semah, spesies marin seperti krustasea yang terdiri daripada udang putih dan udang harimau termasuk ikan laut seperti siakap dan kerapu,” katanya.

Beliau berkata sehingga kini, jumlah keluasan kolam pengeluaran perikanan dianggarkan kira-kira 1,233 hektar melibatkan 8,273 kolam berlesen.

Selain itu, katanya terdapat juga sekitar 16,000 sangkar di tasik dan sungai dengan anggaran purata pengeluaran tahunan melebihi 9,800 tan metrik.

Tambahnya pada masa ini, terdapat 4,302 pemain industri perikanan berdaftar termasuk 52 penternak udang yang berlesen di Sarawak.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak