BERCAKAP….Nancy (tengah) bercakap dalam sidang media

KUCHING: Kerajaan Pusat telah meluluskan kemasukan pekerja luar negara mengikut kapasiti had ditetapkan bagi mengatasi cabaran kekurangan pekerja dalam bidang perhotelan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya secara rasmi mengemukakan perkara tersebut kepada Kementerian dan kabinet sebelum ini.

Menurutnya, lebih kurang satu juta pekerja diperlukan dalam bidang perhotelan termasuk pengurusan, tukang masak dan pembantu pembersihan.

Beliau mengakui ia adalah salah satu cabaran bukan sahaja dalam bidang perhotelan tetapi keseluruhan ekosistem negara.

“Justeru, buat masa ini kelulusan sudah diberi dan sekarang adalah proses untuk membawa mereka (pekerja asing) ini masuk ke Malaysia,” katanya dalam sidang media pada majlis ramah mesra di Kraftangan Petrajaya, Sarawak, di sini hari ini.

Jelasnya, bilangan pekerja perhotelan menurun ekoran wabak pandemik Covid-19 sehingga terpaksa diselenggarakan oleh pekerja warga tempatan sedia ada.

Katanya, usaha kementeriannya untuk membuka peluang kepada warga tempatan juga sudah dilaksanakan sebelum ini menerusi pameran peluang pekerjaan dalam bidang perniagaan namun keputusan kurang memuaskan.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak