SEPERTI yang kita sedia maklum kes penipuan Macau Scam semakin meningkat saban hari.

Sindiket penipuan seperti ini tidak mengira mangsa asalkan dapat masuk ke jerat mereka.

Terdahulu,Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memaklumkan sejumlah 67,552 kes penipuan Macau Scam membabitkan kerugian bernilai RM2.23 bilion dilaporkan sejak 2017 sehingga 20 Jun 2021.

Daripada jumlah tersebut, ini bermaksud seorang warganegara ditipu untuk setiap 30 minit.

Modus operandi penipuan itu melibatkan penyamaran daripada pihak bank, pihak berkuasa, perniagaan e-dagang atau pelaburan dan ‘love scam’.

Penyamaran sebagai pihak bank atau pihak berkuasa dan jaminan pulangan pelaburan yang tinggi tanpa sebarang risiko merupakan antara muslihat penipuan yang sering digunakan.

Di Sarawak terus merekodkan peningkatan bagi kes jenayah komersial melibatkan penipuan dalam talian apabila 2,816 kes pada 2021 berbanding 1,462 kes pada 2020.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Beliau berkata, statistik tersebut diperoleh daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) PDRM Sarawak itu turut mendedahkan peningkatan sebanyak 92.16 peratus (1,354 kes).

Dedahnya, kerugian jenayah komersial di Sarawak bagi tempoh terbabit adalah sebanyak RM72.7 juta bagi tahun 2021 jika dibandingkan RM65.6 juta dalam tahun 2020.

“Ini menunjukkan peningkatan kerugian sebanyak RM7.1 juta,” katanya.

Bagi kes penipuan ini, ramai golongan profesional dan berpendidikan tinggi sering menjadi mangsa seperti doktor, peguam, guru, pensyarah, jurutera dan pegawai tinggi kerajaan turut menjadi mangsa sindiket terbabit.

Lebih menyedihkan apabila golongan warga emas turut menjadi mangsa kerana kurangnya kesedaran dan pendedahan tentang ancaman jenayah siber.

Jika melihat kepada kes melibatkan penipuan yang didakwa di mahkamah, terdapat beberapa kes yang menyaksikan tertuduh tidak menyedari nombor akaun mereka digunakan untuk aktiviti penipuan.

Sebagai contoh daripada laporan media terdahulu, seorang pelajar universiti diperintahkan untuk berkelakuan baik selama satu tahun dengan oleh Mahkamah Majistret Kuching selepas mengaku bersalah memiliki sejumlah wang RM10,100 secara tidak sah dan disyaki harta curi yang disimpan di dalam akaunnya.

Semasa prosiding, pemuda berusia 21 tahun itu mengaku telah menyewakan kad bank miliknya kepada individu lain selepas tertarik dengan iklan di aplikasi media sosial yang menawarkan bayaran RM500 secara sekali gus kepada penyewa kad.

Bagi kesalahan itu, tertuduh di dakwa di bawah Seksyen 37 (1) Ordinan Kesalahan Kecil Sarawak 1958 yang membawa hukuman penjara maksimum tiga bulan dan denda RM500.

Salah satu contoh lain ialah, seorang pemuda berusia 26 tahun dijatuhi hukuman denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Kuching kerana memiliki sejumlah wang RM15,060 secara tidak sah.

Difahamkan, nombor akaun bank tertuduh digunakan oleh peminjam wang tanpa lesen untuk transaksi duit berkenaan semasa melakukan aktiviti penipuan dalam talian.

Jika melihat kepada kes-kes dan statistik terbabit, meskipun kes scam ini sering dilaporkan media namun agak sukar dibanteras dengan perkembangan teknologi semasa yang semakin canggih.

Teknologi yang semakin maju dan berkembang menjadikan penjenayah perlu menjadi kreatif serta inovatif untuk menipu wang mangsa.

Sukar untuk menangkap dalang sebenar sindiket ini kerana ia mungkin mempunyai banyak lapisan dan yang sering ditangkap hanyalah melibatkan orang bawahan.

Secara kesimpulannya, sebagai orang awam kita hendaklah sentiasa berwaspada semasa mengakses mana-mana laman web dan media sosial serta tidak terlalu mendedahkan maklumat peribadi, perbankan atau maklumat kewangan kepada orang lain.

Selain itu, kita juga dinasihati agar tidak mudah panik dan jangan percaya dengan sebarang dakwaan oleh pemanggil telefon atau mana-mana medium telekomunikasi yang digunakan sindiket ini.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak