PASUKAN PBB… Barisan ahli-ahli PBB Dewan DUN11 Batu Lintang

KUCHING: Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Batu Lintang hari ini.

Beliau dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada semua perwakilan cawangan tersebut atas mandat serta kepercayaan yang diberikan untuk beliau terus menerajui PBB Dun berkenaan.

“Alhamdulillah saya bersyukur sejak menjadi ketua cawangan, PBB Cawangan Batu Lintang tetap mantap.

“Walaupun cawangannya kecil namun komitmen, kerjasama, kreativiti, kebertanggungjawaban ahli amat dihargai. Saya berharap ia akan diteruskan oleh Ahli Jawatankuasa yang baharu,” tegas beliau.

Beliau mendedahkan PBB satu-satunya parti kukuh dan berperanan besar di dalam memberi khidmat pada masyarakat.

“Sebagai sebuah parti tonggak dari dulu sehingga kini di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS), kita perlu pimpinan yang lebih mantap dan mempunyai komitmen yang jitu serta semangat dan kekuatan,” tambahnya.

Dalam pada itu beliau turut berharap agar pimpinan lama mahupun baharu dapat bekerja dengan lebih giat untuk merencanakan aktiviti yang bersesuaian dan juga berkesan di dalam menjaga hubungan antara ahli parti dan masyarakat.

Mesyuarat tri-tahunan itu juga menyaksikan pemilihan Datuk Mohamad Safri Abdillah sebagai Timbalan Ketua Cawangan PBB Batu Lintang yang juga turut menang tanpa bertanding.

Turut terpilih tanpa bertanding adalah Ketua Pemuda Cawangan, Mohd Nizam Maulana Mohd Zaini dan naibnya Awang Mahadil Datuk Awang Bujang serta tujuh ahli jawatankuasa yang juga menang tanpa bertanding.

Manakala Ketua Wanita Cawangan Lolita Aman turut menang tanpa bertanding dan bersama timbalannya Kalimah Aman beserta 16 ahli jawatankuasa yang dipilih dan dilantik.

Seramai 80 perwakilan dan pemerhati dari lima ranting di bawah PBB DUN Batu Lintang telah menghadiri mesyuarat tersebut.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak