KUCHING: Suasana di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) meriah dengan kehadiran orang ramai yang membanjiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Yang Dipertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Ragad Kurdi Taib, hari ini.

Kehadiran ribuan pengunjung terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan usia termasuk Orang Kelainan Upaya (OKU) dan warga emas tidak ‘putus-putus’ malah, ada yang datang seawal jam 9 pagi beratur untuk masuk ke perkarangan BCCK.

Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri TYT dan Toh Puan hari ini bermula jam 11 pagi hingga 4.30 petang.

Selain itu, kelihatan pengunjung beratur panjang dan sabar menunggu kehadiran TYT dan Toh Puan.

Majlis turut dihadiri Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Timbalan-Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Jaul Samion, selain menteri-menteri kabinet, ahli-ahli Parlimen dan DUN serta orang kenamaan yang lain, ketua-ketua jabatan kerajaan dan sektor swasta.

Taib dalam perutusan berkata Sarawak akan menjadi lebih teguh apabila rakyat berjaya dipupuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan komuniti dan menghayati semangat bersatu dalam kepelbagaian.

“Kekalkan sikap saling memahami dan saling menghormati agar warga hidup penuh harmoni dalam sebuah negeri yang aman lagi makmur,” katanya.

Beliau turut menyeru semua rakyat agar sentiasa berhati-hati dan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti mengekalkan penjarakan fizikal, menggunakan pelitup muka dan menjaga kebersihan sepanjang masa bagi mengelak penularan Covid-19.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (duduk, kanan) dan isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang (duduk, kiri) bergambar bersama-sama Yang Dipertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud (duduk, dua kanan) dan isteri, Toh Puan Ragad Kurdi Taib (duduk, dua kiri).
Yang Dipertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Ragad Kurdi Taib menyambut pengunjung yang hadir.
Golongan OKU turut mengunjungi Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Yang Dipertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Ragad Kurdi Taib di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak