KUCHING: Sarawak mempunyai cara lain untuk mendapatkan lesen bank digital selepas tidak tersenarai sebagai pemegang lesen bank digital oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pihaknya menerima keputusan BNM itu, namun mempunyai pilihan kedua bagi merealisasikan inisiatif berkenaan.

“Saya rasa ia bukan masalah, lagipun kita sudah mempunyai S Pay Global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu-bual selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Yang Dipertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Ragad Kurdi Taib di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Sarawak tidak berjaya memperolehi lesen bank digital daripada BNM, selepas konsortium yang terdiri daripada Kerajaan Sarawak, Revenue Group dan Kenanga Investment Bank Berhad tidak tersenarai sebagai pemegang lesen bank digital oleh BNM.

Keputusan ini diumumkan menerusi sebuah kenyataan rasmi BNM selepas hampir sebulan tarikh tamat permohonan lesen bank digital.

Konsortium tersebut adalah antara 29 pemohon yang membida untuk memperoleh lesen bank digital di bawah konsortium SSG Digital Resources Berhad (usaha sama kerajaan Sarawak, Revenue Group dan Kenanga Investment Bank Berhad).

Lima firma yang berjaya memperoleh lesen bank digital adalah Boost [konsortium antara RHB Bank dan Axiata (Boost Holdings Sdn Bhd)], Grab (konsortium antara GSX Bank Pte. Ltd. dan Kuok Brothers Sdn Bhd), ShopeePay dan SPayLater (konsortium antara Sea Limited dan YTL Digital Capital Sdn Bhd.), Aeon Credit (AEON Financial Service Co., Ltd., AEON Credit Service (M) Berhad and MoneyLion Inc.) dan MoneyMatch (KAF Investment Bank Sdn. Bhd.)


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak