Hasidah (dua kanan) memperuntukkan sejumlah RM10,000 kepada Pejabat Pendidikan Daerah Kuching, di sini hari ini

KUCHING: Perkara berhubung pendidikan antara kuasa autonomi yang harus diberikan lebih kepada Sarawak menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) itu berkata, walaupun pendidikan di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan, tetapi kerajaan Sarawak turut menyuarakan hasrat agar autonomi diberikan lebih dari sudut pelaksanaan dalam apa-apa jua bidang pendidikan.

Katanya, antara perjuangan yang dibawa kerajaan Sarawak adalah memohon kerajaan persekutuan untuk merealisasikan 90 peratus guru di Sarawak dalam kalangan anak tempatan.

“Kami membawa semua ini dalam rundingan supaya kerajaan memberi lebih autonomi kepada negeri ini.

“Memang saya tidak tahu lanjut mengenai isu pendidikan di negeri ini, cuma saya ingin memberitahu dalam kita memperjuangkan hak kita menerusi MA63, kita ada bincangkan mengenai perjuangan kita dari sudut autonomi dan agenda pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian Jom Berambeh di Samariang sempena Sambutan Hari Guru 2022, di Kuching hari ini.

Jelas Hasidah yang juga Adun Semariang, apa-apa jua perundingan, perbincangan, semua perkara akan mengambil masa untuk dibincangkan.

Dalam majlis yang sama, Hasidah turut memperuntukkan sejumlah RM10,000 kepada Pejabat Pendidikan Daerah Kuching bagi penganjuran program Jom Berambeh di Samariang sempena Sambutan Hari Guru 2022.

Beliau berkata, pihaknya telah menyalurkan sumbangan itu bagi membantu kelancaran penganjuran program tersebut.

Jelasnya, pihak beliau amat menyokong penganjuran seumpama itu bagi menghargai jasa bakti dan sumbangan para guru yang telah mendidik anak bangsa khasnya di negeri ini.

Beliau berharap program kemasyarakatan seperti itu akan dapat diteruskan pada masa akan datang serta menyifatkan guru merupakan satu komposisi yang sangat penting.

Suara Sarawak