Abang Johari menyaksikan simbolik penyerahan replika cek daripada pihak Samling Strategics Corporation Sdn.Bhd kepada Lembaga Kebajikan Melayu Miri.

MIRI: Sarawak akan meneruskan pendekatan ekonomi hijaunya sebagai sebahagian daripada sumbangan negeri untuk membantu mengurangkan pemanasan global akibat perubahan iklim.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak berada dalam era apabila dunia menghadapi banyak cabaran dan salah satunya ialah perubahan iklim.

“Kami mempunyai pendekatan untuk menyumbang supaya pemanasan global dapat dikurangkan.

“Syukur kita masih dalam persekitaran ekonomi hijau,” katanya pada majlis Ramah-Tamah Aifilfitri Lembaga Kebajikan Melayu Miri (LAKMM) di sebuah hotel di sini malam tadi.

Abang Johari berkata beliau telah meminta peguam negara menjalankan kajian mengenai Kanun Tanah Sarawak tiga tahun lalu kerana tidak disebut siapa pemilik ruang udara di tanah negeri itu.

“Selepas penyelidikan dilakukan, undang-undang antarabangsa iaitu ‘common law’, memberitahu bahawa kita mempunyai hak ke atas ruang udara tanah kita.

“Oleh itu, kita meminda Kanun Tanah supaya kerajaan negeri mempunyai hak ke atas ruang udara tanah Sarawak,” katanya.

Beliau berkata pindaan Kanun Tanah, yang diluluskan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini, membolehkan Sarawak menguruskan ruang udaranya sendiri, termasuk pelantar benua untuk simpanan karbon.

Turut hadir Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Datuk Tuanku Bujang, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Masyarakat (Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak) Datuk Rosey Yunus, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan II (Pembangunan Usahawan) Dr Ripin Lamat, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap ADUN Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman dan pengerusi LKMM, Datuk Abdillah Abdul Rahim.

Abang Johari menyaksikan simbolik penyerahan replika cek daripada pihak Tabung Amanah Naim kepada Lembaga Kebajikan Melayu Miri.

Suara Sarawak