KUCHING: Kerajaan Sarawak komited untuk mengangkat Sarawak Delta Geopark (SDGp) sebagai UNESCO Global Geopark setelah ia dijangka akan diperakukan pada Jun ini.

Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, perakuan ini susulan SDGp telah melalui proses penilaian untuk diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan pada 19 hingga 21 Januari lalu.

Beliau menegaskan, inisiatif pemeliharaan khazanah negeri seperti flora, fauna, geologi, adat resam dan budaya dan sebagainya menjadi keutamaan Kerajaan Sarawak.

“Justeru, dengan pencapaian pengiktirafan ini, SDGp akan menjadi jenama baharu yang memberi manfaat dari aspek publisiti global yang mesra alam, promosi geo-pelancongan, peningkatan pembangunan infrastruktur dan sosio-ekonomi serta peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan kementeriannya pada Persidangan Penggal Pertama DUN Sarawak, di sini, hari ini.

Dalam masa yang sama, Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua berkata bahawa Kerajaan Sarawak juga dalam proses untuk mendapatkan pengiktirafan bagi Taman Negara Niah sebagai tapak warisan dunia Unesco.

Awang Tengah ketika sesi penggulungan kementeriannya pada Persidangan Penggal Pertama DUN Sarawak, di sini, hari ini.

Suara Sarawak