KUCHING: Kerajaan Sarawak mengumpul hasil sebanyak RM3.108 bilion atau 31 peratus daripada anggaran hasil sebanyak RM10,036 bilion setakat suku pertama tahun ini.

Timbalan Premier merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru Kedua, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata hasil itu dikumpulkan terutama dari sumber cukai jualan negeri sebanyak RM1.248 bilion, pampasan tunai sebagai ganti bagi hak minyak dan gas (RM876 juta) dan dividen (RM634 juta).

“Selain itu royalti air mentah sebanyak RM109 juta, perolehan perhutanan sebanyak RM66 juta, faedah dan pulangan daripada pelaburan sebanyak RM57 juta, premium tanah sebanyak RM39 juta, pemberian dan pembayaran balik persekutuan sebanyak RM19 juta dan sumber lain seperti royalti perlombongan, jualan air dan sewa tanah sebanyak RM60 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kementerian Kewangan dan Ekonomi Baru Kedua pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Timbalan Premier merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru Kedua, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menunjukkan ucapan penggulungan kementeriannya ketika ditemui di kompleks DUN, hari ini.

Sementara, Uggah berkata perbelanjaan biasa negeri meningkat sebanyak RM60,064 juta atau 0.01 peratus daripada RM10,646 bilion kepada RM10,706 bilion bagi tahun ini, untuk menampung geran tambahan kepada 23 Pihak Berkuasa Tempatan bagi melaksanakan inisiatif Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS 8.0) yang dilanjutkan sehingga Jun tahun ini.

“Sehingga suku pertama, sejumlah RM2.577 bilion daripada perbelanjaan biasa atau 24 peratus telah dibelanjakan,” katanya.

Manakala bagi perbelanjaan pembangunan, beliau berkata bagi suku pertama tahun ini, Sarawak telah membelanjakan RM1.632 bilion atau 22 peratus daripada perbelanjaan pembangunan yang diluluskan.

Jelasnya perbelanjaan dijangka meningkat kerana momentum pembangunan terus meningkat apabila memasuki fasa endemik.

Justeru, Uggah berkata semua program dan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) terutama yang berimpak tinggi dan mempunyai kesan pengganda yang lebih besar kepada rakyat mesti dilaksanakan dengan lancar dan pantas.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak