Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika ditemu-bual sempena Majlis Ramah Tamah Aidilfitri DUN Gedong bersama Premier Sarawak merangkap Adun Gedong di sebuah hotel di sini, hari ini.

KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bertegas tidak akan bersetuju dengan agihan geran khas yang ditetapkan Kerajaan Persekutuan di bawah Perkara 112C dan 112D, Perlembagaan Persekutuan.

Katanya tindakan itu akan terus dibuat selagi formula agihan peruntukan berkenaan, seperti yang dituntut oleh Kerajaan Sarawak tidak dipenuhi.

“Prinsip saya ialah jika negara dalam keadaan baik, ia harus dikongsi dan jika keadaan negara tidak baik, kita juga berkongsi masalah atau beban.

“Kita tidak mahu jika mereka (kerajaan persekutuan) menjana pendapatan, mereka tidak berkongsi dengan kita.

“Jadi formulanya jika menjana pendapatan, kongsikan dan begitu juga kalau pendapatan kurang maka geran juga kurang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu-bual sempena Majlis Ramah Tamah Aidilfitri DUN Gedong bersama Premier Sarawak merangkap Adun Gedong di sebuah hotel di sini, hari ini.

Menurut Abang Johari, perkara itu kini masih dalam rundingan antara kedua-dua kerajaan bagi menentukan formula yang perlu digunapakai.

Suara Sarawak