KUCHING: Sarawak harus dimajukan selari dengan tren kemajuan dunia pada masa ini yang berlumba-lumba ke arah ekonomi dipacu oleh teknologi digital dan diurus secara lestari.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia dengan memberi penekanan kepada tenaga boleh diperbaharu dan bahan bakar tanpa emisi khususnya gas hidrogen hijau dan tenaga solar.

“Malah Sarawak merupakan negeri terawal yang telah mengorak langkah ke arah ekonomi bentuk baharu ini.

“Dunia telah mengenali usaha Sarawak seperti yang terbukti apabila saya dijemput untuk berucap di Forum Hidrogen Dunia di Rotterdam, Belanda pada minggu lalu. Manakala pada 26 April lalu, saya juga telah berucap pada satu sesi dialog anjuran Temasek Foundation di Singapura.

“Saya yakin undangan daripada pihak penganjur telah dibuat berdasarkan inisiatif berani Sarawak ke arah pembangunan ekonomi hijau yang akan dipacu oleh bahan bakar tanpa emisi seperti gas hidrogen,” katanya dalam perutusan khas sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri 2022.

Tegas Abang Johari, para pelabur asing dari Korea dan Jepun juga mengenali dasar negeri ini ke arah pembangunan bahan bakar hijau dan telah datang untuk berunding bagi melabur dalam projek pengeluaran hidrogen hijau di sini dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 10,000 ton metrik setahun menjelang 2025.

“Justeru itu, anak-anak Sarawak hendaklah terus bersatu ke arah membina negeri yang boleh menjadi kebanggaan seluruh rakyat pada masa hadapan.

“Kita juga hendaklah bersatu dalam suara untuk meneruskan usaha mengembalikan hak-hak yang telah terhakis dan melaksanakan perkara-perkara yang belum terlaksana seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963.

“Saya yakin rakyat Sarawak juga akan memberi sokongan padu kepada Kerajaan GPS agar suara Sarawak terus diberi perhatian sebaik mungkin di peringkat kebangsaan,” tambahnya.

Ujarnya, beliau juga yakin Suara Sarawak di Parlimen harus lebih kuat daripada sedia ada supaya negeri ini terus dihormati dan kuasa yang menyumbang kepada kestabilan pentadbiran negara.

Suara Sarawak