Simbolik.. Hasidah (tengah) memotong pulut kuning bagi merasmikan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Pergerakan PPIM Perhubungan Negeri Sarawak 2022 di salah sebuah hotel terkemuka, di sini hari ini.

KUCHING: Sejumlah RM10,000 telah dipersetujui untuk diperuntukkan kepada Persatuan Puteri Islam Malaysia (PPIM) Perhubungan Negeri Sarawak menerusi inisiatif geran projek kecil luar bandar (MRP).

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, peruntukan ini disalurkan bagi PPIM melaksanakan pelbagai aktiviti dan program untuk kelancaran program yang dilaksanakan.

Antara lain program yang dilaksanakan adalah mensasarkan penambahan 10 peratus ahli berdaftar melalui ‘Kempen Tambah 10 Peratus’ ; Program Perkongsian Amalan Terbaik Pengurusan PPIM ; mengadakan Majlis Minum Teh bagi tujuan pemerolehan dana di bawah Unit Kewangan ; Pertandingan Menghasilkan Video Infografik Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri dan meraikan Hari Kebesaran Islam.

Justeru kata Hasidah, selaku wakil rakyat, beliau menyokong sepenuhnya apa yang baik sebagai pemimpin Sarawak.

“Pemberian dana ini juga adalah kerana saya yakin PPIM ini mempunyai kepimpinan yang amat baik.

“Saya berharap agar PPIM akan sentiasa hebat, aktif dan sentiasa melaksanakan program untuk membina jati diri anak-anak kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Pergerakan PPIM Perhubungan Negeri Sarawak 2022 di salah sebuah hotel terkemuka, di sini hari ini.

Terdahulu, Timbalan Pengerusi PPIM Perhubungan Sarawak Dr Asmah Othman dalam ucapannya memohon agar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semariang itu menyalurkan peruntukan bagi kelancaran program yang dilaksanakan oleh persatuan tersebut.

Suara Sarawak