SEBUYAU: Kerajaan Sarawak komited dalam usaha untuk memastikan sasaran bagi membina 7,000 menara telekomunikasi di seluruh negeri ini akan dapat dicapai menjelang 2025 hingga 2030.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi berkata, setakat ini jumlah menara yang dibina hanya kira-kira 3,479 dan ia masih belum mencapai 50 peratus daripada sasaran tersebut.

“Ia juga bermaksud, kita perlu membina lebih daripada separuh lagi menara di seluruh Sarawak tidak kira di kawasan bandar, pekan kecil, pesisir dan pedalaman.

“Pembinaan menara ini juga akan untuk membolehkan liputan kemudahan telefon dan internet dapat kita sasarkan ke seluruh negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Raikan Hari Raya Aidilfitri 2022 Peringkat Dun N.27 Sebuyau di Dewan Pembangunan Sebuyau, hari ini.

Menjelas lanjut, Adun Sebuyau itu juga memberitahu pembinaan menara sahaja tidak mencukupi sekiranya ia tidak dilengkapi dengan peralatan telekomunikasi.

“Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) telah membina 286 daripada 600 menara yang disasarkan, kemudian menara yang siap itu akan dipertanggungjawabkan kepada Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) untuk dilengkapi dengan semua peralatan telekomunikasi supaya dapat digunakan dengan istilah on-air,” ujarnya.

BERCAKAP… Julaihi bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Raikan Hari Raya Aidilfitri 2022 Peringkat Dun N.27 Sebuyau di Dewan Pembangunan Sebuyau, hari ini. (F: Ramidi)

 


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak